Monday, March 3, 2008

Nasihat Pak Lah kepada Kaum Cina, India


BUKIT MERTAJAM 2 Mac – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menasihatkan kaum Cina dan India bahawa adalah satu kerugian jika calon MCA dan MIC tidak menang dalam pilihan raya 8 Mac ini sehingga menyebabkan mereka tidak mempunyai suara untuk memperjuangkan nasib kaum masing-masing dalam Kabinet Barisan Nasional (BN).
Perdana Menteri menegaskan, beliau mahu calon daripada pelbagai kaum dapat dilantik sebagai menteri, timbalan menteri atau anggota Exco kerajaan negeri supaya sesuatu isu kepentingan kaum diselesaikan secara muafakat dan segera oleh kerajaan.
“Cubalah fikir kalau kaum India tidak dipilih oleh sebab tidak suka MIC, tentulah dalam Kabinet nanti tidak ada wakil kaum India.
‘‘Ia juga satu kerugian jika wakil MCA atau Gerakan amat kurang dan ini tentu menjejaskan kedudukan mereka dalam Kabinet,’’ katanya ketika berucap di hadapan 2,000 masyarakat Cina pada jamuan mesra penduduk Permatang Pauh di Dewan Teciaw di sini malam ini.
Sebagai Presiden UMNO, kata Abdullah, beliau mahu apabila calon-calon daripada UMNO, MIC, Gerakan atau MCA dipilih mewakili BN, ia menerima sokongan rakyat pelbagai kaum.
Sebab itu, katanya, adalah penting rakyat pelbagai kaum memberi sokongan kepada calon BN tanpa mengira calon berkenaan daripada UMNO, MCA, MIC atau Gerakan.
‘‘Di kawasan-kawasan yang majoritinya ditandingi calon UMNO, pengundi bukan Melayu mesti menyokong calon BN tersebut.
‘‘Begitu juga kalau kawasan itu ditandingi calon MCA, penduduk Melayu mesti memberi sokongan. Kita perlu memberi makna kepada kerjasama dan permuafakatan ini,’’ katanya.
Perdana Menteri menjelaskan, beliau sentiasa memastikan apa sahaja isu berkaitan semua kaum didengar dan diselesaikan apabila dibangkitkan oleh menteri-menteri Kabinet.
Kata Perdana Menteri: “Dalam Kabinet, kalau isu itu sensitif, saya mahu semua beri pendapat. Bila tidak dapat capai keputusan, kita bincang dalam mesyuarat lain.
“Tidak ada isu satu parti membuli parti lain sebab kita menghormati orang yang ada wakil kaum dalam jemaah menteri.”
Abdullah berkata, beliau berbuat demikian kerana itu sahaja jalan untuk memastikan BN terus hidup dan kerajaan tidak membuat keputusan secara angkat tangan tetapi melakukannya secara konsensus apabila semua pihak bersetuju.
Kata beliau, pengundian dalam pilihan raya merupakan sesuatu yang serius yang perlu dilakukan oleh rakyat setelah membuat penilaian secukupnya.
‘‘Mengundi bukan hanya undilah tanpa fikir habis, sebab apabila kerajaan diwujudkan ia akan wujud sekurang-kurangnya empat hingga lima tahun.
‘‘Empat atau lima tahun adalah tempoh masa yang lama, macam-macam boleh jadi atau tidak akan ada apa-apa berlaku,’’ katanya.
Justeru, Abdullah berkata, sebagai pemimpin BN yang diwakili pemimpin semua kaum, beliau akan memastikan BN berpegang kuat pada janji dan permuafakatan.
‘‘Apa yang sudah dijanjikan, kita akan buat. Kita mahu lihat nanti kerajaan yang dipilih memang benar-benar mewakili semua kaum,” ujarnya.
Sementara itu, pada Majlis Jamuan Makan Malam Masyarakat India Parlimen Kepala Batas Bersama Perdana Menteri di Dewan Milenium di sini malam ini, Abdullah berkata, rancangan BN untuk membantu masyarakat India bukan sekadar janji di mulut sebaliknya merupakan satu janji serius yang akan dilaksanakan dengan segera.
Menurut Perdana Menteri, perkara berkenaan telah dinyatakan secara jelas dalam manifesto BN dan kerajaan akan memberi perhatian kepada semua masalah yang telah dibangkitkan.
‘‘Kita akan ambil langkah spesifik yang digubal khusus untuk membantu masyarakat India termasuk di kawasan ladang, itu bukan janji di mulut tapi janji serius yang akan dilaksanakan,” ujarnya.
sumber: Utusan

No comments: