Monday, March 3, 2008

Pilihanraya


'Cahaya' nikmati pembangunanOleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammadahmadshahrul@hmetro.com.my
MUNGKINKAH dominasi kerajaan Pas Kelantan berakhir 8 Mac ini? Andaian itu sebenarnya semakin sukar ditolak berdasarkan usaha tanpa kenal erti putus asa pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno Kelantan, sejak 18 tahun Pas menguasai negeri Cik Siti Wan Kembang.Kini, usaha itu dilihat sudah memberi ‘cahaya’ yang lebih terang bagi memastikan rakyat Kelantan bakal menikmati pembangunan yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini. Itulah, janji pemimpin besar BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Perhimpunan Anak-Anak Kelantan Di Perantauan di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, malam kelmarin.Gegak gempita stadium apabila lebih 4,000 anak Kelantan memberikan tepukan gemuruh sebaik Abdullah bangkit untuk memberikan ucapan keramat yang dijangka menjadi azimat bagi anak Kelantan di perantauan merubah suasana politik di Kelantan yang kini diterajui Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Abdullah dalam ucapan memberi jaminan, kejayaan dan perubahan pesat yang tidak pernah diimpikan di Terengganu bakal diterjemahkan sama di Kelantan seandainya rakyat Kelantan memberi mandat kepada BN untuk memerintah negeri itu.
“Saya ingin laksanakan pembangunan untuk Kelantan kerana negeri ini mempunyai banyak potensi yang boleh digunakan secara produktif yang sudah lama tidak dapat dilaksanakan,” kata Pak Lah yang mendapat sorakan sokongan daripada anak Kelantan yang hadir.
Sokongan kuat Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Anuar Musa yang memberikan sokongan dan bantuan kepada bakal Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, bagi mengambil alih Kelantan daripada Pas, dilihat pemerhati politik sebagai anjakan paradigma yang sebenarnya menggegarkan kepemimpinan Pas Kelantan.Anuar tanpa berselindung memberikan komitmen membantu Awang Adek, malah sudah bersedia menjadi pengurus kempen untuk Ketua Umno bahagian Bachok itu, yang sudah dinobatkan Abdullah secara rasmi sebagai Menteri Besar, jika BN membentuk kerajaan.Awang Adek dilihat ikon baru yang dijangka mampu merubah pemikiran rakyat Kelantan yang semakin selesa dengan BN yang nyaris menubuhkan kerajan pada Pilihanraya Umum (PRU) 2004.Tidak dapat dinafikan, penguasaan Pas dengan hanya menikmati kemenangan 23 kerusi DUN berbanding 21 dikuasai BN, dijangka berakhir jika gerakan arus perdana sokongan terhadap BN yang dilihat sekarang menjadi realiti. Pemerhati politik melihat tidak mustahil enam kerusi DUN yang dimenangi Pas dengan majoriti kecil, dua hingga 105 undi akan dirampas dan ia dilihat kunci untuk BN membentuk kerajaan di Kelantan terlaksana.Kerusi terbabit ialah Kemuning dimenangi Pas dengan majoriti dua undi, Temangan (75), Pulau Chondong (105), Gaal (43), Pengkalan Pasir (56) dan Kota Lama (934). Kini, selain Anuar dan Awang Adek yang sudah mengukuhkan kesepakatan bersama pemimpin besar Umno Kelantan lain seperti Datuk Mustapa Mohamed dan Tengku Razaleigh Hamzah, dijangka mewarnai suasana politik Kelantan yang lebih dinamik bagi memastikan Kelantan, kembali kepada BN pada 8 Mac nanti.Petanda paling kuat kepada kejayaan BN apabila kehadiran anak Kelantan pada pertemuan dengan Pak Lah itu dilakukan atas inisiatif Timbalan Pengerusi Majlis Kemajuan Kelantan (MKK) yang juga Pengerusi Penganjur, Datuk Noordin Razak, tiga hari selepas mengadakan pertemuan dengan Abdullah.Malah, pelbagai kain rentang sokongan seperti ‘Don't Kuatir (Khuatir) BN Win This Time’ daripada anak Kelantan Pasir Puteh dan banyak lagi kata-kata sokongan anak Kelantan di perantauan di stadium itu, menyakinkan pemimpin BN dan Umno membentuk kerajaan pada 8 Mac ini.

Isu Semasa...


Belang black metal IndonesiaOleh Mohd Jamilul Anbia Md Deninanbia@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Membimbangkan apabila beberapa kawasan di ibu kota kini ‘dijajah’ ramai penyangak dan geng black metal warga Indonesia dikenali sebagai ‘Hantu Barong’ yang gemar bergaduh termasuk sanggup mencederakan sesiapa saja hanya disebabkan cemburu dan berebut wanita. Kumpulan ganas terbabit yang sering melepak di sekitar pusat tumpuan pelancong di ibu kota terutama pada hujung minggu, didakwa pantang dicemuh terutama kumpulan pendatang asing lain dan tidak teragak-agak menyerang menggunakan senjata tajam termasuk kerambit.Seorang pekerja asing dari Aceh, Rahman Harsono, 33, berkata kumpulan terbabit mudah dikenali kerana gemar tampil persis peminat fanatik lagu black metal atau rock dengan gemar memakai baju-T hitam dan berambut panjang.Menurutnya, setiap baju-T hitam terbabit ditempah khas dengan pelbagai logo ganas seperti wajah hantu atau tengkorak selain diselitkan falsafah kumpulan hitam berkenaan dalam bahasa Jawa yang tidak difahami rakyat tempatan.
“Malah, geng baju-T hitam ini kerap tampil mengikut format pendekar di Pulau Jawa yang gemar menggunakan pakaian serba hitam serta rambut panjang yang diikat rapi ke belakang. Kebanyakan mereka turut gemar mewarnakan rambut panjang terbabit yang cuba ditonjolkan lebih ganas.
“Kumpulan ini yang juga ahli atau serpihan geng ‘Bocahe Dewe’ turut gemar tampil dengan memakai jeans lusuh dan baju agak ketat untuk menonjolkan susuk tubuh mereka yang tegap,” katanya.Menurutnya, kumpulan samseng terbabit gemar memakai cincin dengan batu permata agak besar.“Mereka agak liar kerana sering bergaduh tidak kira dengan kumpulan pendatang asing dari Aceh, Madura, Flores mahupun warga Myanmar dan Bangladesh.“Golongan ini ada kalanya bergerak seperti kongsi gelap yang bergaduh kerana berebut pengaruh di sesuatu kawasan sama ada untuk tujuan pengedaran dadah atau arak. Ini terbukti apabila kumpulan ini berpengaruh dan aktif mengedar dadah di Klang,” katanya.Tinjauan Harian Metro di sekitar Jalan Silang dan Pasar Seni di sini, semalam mendapati, kumpulan terbabit seramai dua hingga 10 orang berkumpulan di beberapa lokasi tertentu sambil memerhatikan orang ramai yang lalu-lalang dengan lirik mata mencurigakan.Warga Indonesia, Yusuf Riyantom, 34, berkata dia amat berhati-hati ketika bersiar-siar di ibu kota pada hujung minggu kerana bimbang menjadi mangsa peras ugut atau sebagai objek melepas geram kumpulan samseng terbabit.“Anggota kumpulan ini agak ramai di Malaysia dan mereka berpecah kepada beberapa kumpulan kecil yang masih mengamalkan ideologi sama. Malah, mereka pernah cuba mengadakan perhimpunan dan konsert di Shah Alam tahun lalu, namun diharamkan polis.“Golongan ini pernah menganjurkan pesta liar yang dinamakan ‘Konsert Halal Bihalal’ pada 2004 di Balakong sehingga mencetuskan kemarahan penduduk tempahan kerana mencampuradukkan unsur agama dan muzik rock serta dangdut keterlaluan,” katanya.Seorang pengawal keselamatan di Pasar Seni yang ditemui pula memberitahu, kehadiran terlalu ramai pendatang asing terutama dari Indonesia di kawasan berkenaan menimbulkan rasa kurang senang terutama kepada peniaga dan pengunjung tempatan.Menurutnya, selama bekerja di situ, dia sudah beberapa kali menyaksikan kumpulan samseng Indonesia bergaduh di kawasan berhampiran Pasar Seni sehingga sering menyebabkan kecederaan parah pada mangsa.“Paling terbaru, kumpulan samseng itu bertempur besar-besaran pada 10 Februari lalu yang menyebabkan tujuh lelaki warga Indonesia cedera akibat ditikam.“Saya sendiri melihat seorang mangsa menggelupur dalam keadaan isi perut terburai di kawasan meletak kereta Pasar Seni sejurus ditikam dengan pisau. Lelaki terbabit yang cedera parah mati di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tidak lama kemudian,” katanya.Menurutnya, kes pergaduhan terbabit adakalanya hanya berpunca salah faham kecil sama ada kerana wanita atau ‘jeling-menjeling’ yang berlarutan hingga menimbulkan balas dendam.“Dalam kejadian ‘perang’ terdahulu lebih 50 geng baju hitam cuba menunjuk kuasa dengan bertempur sebelum ia merebak ke Perhentian Bas Klang, Kompleks Kotaraya dan hadapan Hotel Ancasa.“Malah, mereka pernah beberapa kali memeras ugut dan merompak warga Nepal atau Myanmar di kawasan kali lima bersebelahan Pasar Seni dengan bersenjatakan pisau,” katanya. Sementara itu, penganalisis jenayah, Kamal Effendi Hashim, berkata kewujudan kumpulan samseng warga asing ini disifatkan satu ancaman kepada keselamatan negara berikutan mereka semakin berani bermaharajalela dan membuat kacau.Menurutnya, pendatang asing yang memiliki permit masuk yang sah biasanya kurang membuat kacau kerana lebih mengutamakan mata pencarian, namun kes gaduh ini biasanya didalangi golongan warga asing yang masuk secara haram.